Search

Bagaimana Al-Quran itu diturunkan

Al-Quran adalah kalamullah yang tidak sama dengan kata-kata manusia atau makhluk. Al-Quran sendiri diturunkan oleh Allah secara dua fase, dengan lebih jelas sebagai berikut :

Fase 1, dari Luh Mahfuz ke langit dunia pada malam al-Qadar (turun sekaligus dalam bulan Ramadhan).

Dalilnya Quran surah ke-2 Al-Baqarah ayat 185
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Artinya :" Bulan Ramadhan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbedaan antara yang benar dengan yang salah"

Surah ke-97 Al-Qadr ayat 1
اِنَّآ اَنْزَلْنٰهُ فِيْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Artinya : " Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur'an) pada malam qadar"

Tokoh terkenal ilmu al-Quran al-Imam al-Zarqani (1367 H) menukilkan riwayat dari Imam al-Hakim (405 H) dan Imam al-Baihaqi (458 H) dari jalan Mansur (132 H) dari Sa’id bin Jubair (95 H) dari Ibnu ‘Abbas (68 H) رضي الله عنهما , beliau berkata:
أُنْزِلَ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا كَانَ بِمَوْقِعِ النُّجُومِ، فَكَانَ اللَّهُ يُنَزِّلُهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْضُهُ فِي أَثَرِ بَعْضٍ
“Allah turunkan Quran sekaligus kepada langit dunia ( Baitil 'Izzah ), penurunan kali kedua pula adalah berlaku beransur-ansur, Allah turunkan Quran ke atas Baginda Rasul-Nya ﷺ sebahagian Quran selepas sebahagian lagi.”

HR. Al-Hakim (3958) al-Mustadrak, al-Baihaqi (3386) dalam Syu’ab al-Iman, Manahil al-‘Urfan, 1/45. Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih mengikut syarat Imam Bukhari dan Muslim.

Fase2, dari Baitil 'Izzah kepada Baginda Rasulullah ﷺ, berlaku secara beransur-ansur selama 23 tahun, bermula sejak Nabi ﷺ dilantik menjadi Rasulullah ﷺ hingga Nabi ﷺ wafat.

Dalilnya di Quran surah ke-17 Al-Israa' ayat 106 :
وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا
“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

Pandangan Ijma’ Ulama’ : 
  • Jumhur ulama' berpandangan selain al-Quran seperti kitab Taurat dan lain-lain kesemua itu diturunkan sekaligus, berbeza dengan al-Quran.
  • Imam al-Qurthubi (671 H) berkata dalam tafsirnya : “Dan ulama’ tidak ada khilaf (maksudnya sepakat) pada penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz pada Malam al-Qadar secara SEKALIGUS.” [Tafsir Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/297]

Hikmah Diturunkan Al-Quran Secara Beransur-ansur

Al-‘Allamah al-Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sabuni Hafizahullah - Ulama’ Besar di Syria - beliau menyatakan : 
  • Hendak diteguhkan hati Nabi ﷺ di hadapan kaum Musyrikin. 
  • Memudahkan menghafaz dan memahami al-Quran ke atas orang-orang Islam.
  • Sesuai perjalanan segala peristiwa yang berlaku dan peringatan atas peristiwa itu pada ketika berlakunya.
Begitu juga untuk tadarruj / perlahan lahan ditetapkan hukum-hakam Islam seperti pengharaman arak yang berlaku secara beransur-ansur, riba, judi dan lain-lain kerana maksiat dosa ini telah lama berakar umbi dalam masyarakat Arab Jahiliyyah, maka al-Quran diturunkan secara beransur-ansur salah satunya pensyariatan haram maksiat-maksiat itu dilakukan secara perlahan-lahan, tidak sekaligus supaya permudahkan mereka terima hukum tersebut.
[Al-Tibyan fi Ulum al-Quran, hlm. 35-40].

Semoga kita dapat menghayati bersama tentang peristiwa Nuzul al-Quran. Wallahua’lam. 

Referensi : https://t.me/asbabunnuzultafasir




No comments

Materi